Press, Berita Harian: Ekonomi
14 June 2006
KUMPULAN Kong Brothers, antara pengedar kasut terkemuka di Malaysia, menempa nama dalam Malaysia Book of Records sebagai pemborong kasut terbesar di Asia Tenggara dengan pembukaan Galeri Kasut Kong Brothers, di Seri Kembangan, Selangor, baru-baru ini.
Galeri seluas 21,600 kaki persegi itu mempamerkan hampir 30,000 je nama kasut tempatan meliputi pelbagai jenis seperti kasut sukan, kasut kulit, kasut keselamatan industri, selipar dan sandal.
Pengasas Kumpulan Kong Brothers, Kong Kwai Meng, berkata galeri itu yang dibuka kepada peruncit, bertujuan memberi mereka lebih banyak pilihan kasut bermutu tinggi untuk ditawarkan kepada pembeli. Katanya, dengan saiz bilik pameran kasut yang luas, syarikat mampu menawarkan lebih banyak pilihan kasut, berbanding pesaing di negara ini.
“Kami percaya galeri ini akan menjadi pusat pemborong kasut tempatan pertama yang menawarkan kasut pada harga rendah dan berpatutan, selain reka bentuk menarik serta berkualiti tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian galeri itu oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Tan Chai Ho, baru-baru ini.
Kong berkata, selain pasaran tempatan, syarikat itu kini menumpukan perhatian kepada pasaran lain di Asia Tenggara seperti Singapura, Indonesia dan Brunei dalam usaha mengembangkan perniagaannya.
Katanya, syarikat juga sedang mengkaji untuk meneroka pasaran kasut di beberapa negara Asia Barat dan Eropah yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat ini.
“Kami yakin industri kasut Malaysia mempunyai masa depan yang cerah dan mampu menembusi pasaran global, walaupun terpaksa berdepan saingan dari negara luar seperti China,” katanya.
Oleh Mohamad Salleh Sulieman